Saturday 16 November 2013

Kisah Seorang Hamba Allah SWT

Kita manusia, apabila namanya manusia maka sifatnya adalah tidak sempurna. Tiada yang sempurna melainkan Allah SWT. Namun manusia ditegaskan untuk berusaha mencapai yang terbaik, mencapai sesempurna mungkin supaya dia boleh mencapai tertinggi dalam apa yang dia boleh capai sebagai manusia.

                Apabila tidak sempurna, pasti ada lekukan-lekukan dalam hidup ini yang membuatkan manusia tergugah. Ujian, cabaran, halangan, yang datang dalam kehidupan insan adalah rencah kepada kehidupan itu sendiri. Pahit manis kehidupan, dirasai kerana ketidak sempurnaan manusia.

                Namun, tidak semua mampu menghadapi ujian, kekurangan, cabaran yang diberikan Allah kepada mereka.

                Di sinilah, saya hendak berkongsi akan kisah seorang hamba Allah SWT. Dia benar-benar hamba Allah SWT.
Bagi yang telah membaca artikel saya berkenaan Dr ‘Ala Hilat, pastinya tahu siapa Dr ‘Ala. Kisah hamba Allah ini, diceritakan oleh Dr ‘Ala Hilat di dalam salah satu dari kelasnya. Hamba Allah yang hendak saya ceritakan ini adalah rakan karib Dr ‘Ala Hilat.

                Dia dan Dr ‘Ala Hilat sama-sama belajar di Universiti Muhammad Al-Khamis, di Rabat, Maghribi. Dr ‘Ala berkata bahawa mereka amat rapat dan kadangkala Dr ‘Ala akan pulang ke rumah menaiki kereta hamba Allah itu. Dari cerita Dr ‘Ala, hamba Allah itu lebih tua daripadanya.

                Dr ‘Ala menyatakan betapa hamba Allah itu adalah seorang yang amat baik, senang didekati, merendah diri, dan sangat disenangi semua.
Dr ‘Ala berkata:

                “Sahabat aku itu, dia adalah seorang yang tinggi, bertubuh sasa, berwajah kacak, amat kemas perawakannya, juga tersangat kaya, berasal dari keluarga berada”

                Hamba Allah itu juga merupakan seorang yang sangat genius. Di Maghribi, hamba Allah itu mempelajari bidang agama dan menjadi pakar di dalamnya. Sebelum dia ke Maghribi, dia mengaji dalam bidang sains dan amat pakar di dalamnya seterusnya masuk ke dalam bidang komputer juga amat pakar di dalamnya.

                “Dia melepasi ujian komputer yang dilakukan pihak tentera dengan mudah sekali, sekaligus dipilih menjadi salah seorang yang menguruskan hal-hal perkomputeran dalam tentera” Tentera negeri mana, Dr ‘Ala tidak menyebut.

                Namun lelaki itu akhirnya menolak tawaran itu dan memilih untuk mendalami agama di Maghribi. Kemudian lelaki itu berkahwin.

                “Dia berkahwin dengan seorang wanita yang amat lawa, rebutan ramai, dan memang padan dengan segala nikmat Allah yang ada padanya” Menyatakan betapa isteri hamba Allah itu juga setaraf dengan statusnya.

                Dari cerita Dr ‘Ala, lelaki itu mempunyai semua perkara yang diidamkan semua lelaki di atas muka bumi ini(menyatakan betapa hebat dan sempurnyanya lelaki itu).

 “Namun, tiada yang sempurna melainkan Allah SWT.” Itu kata-kata Dr ‘Ala.

                Hamba Allah SWT itu diuji.

                Dia mendapat tiga orang anak hasil perkahwinannya dengan perempuan yang ibarat bidadari itu. Namun, masalahnya, ketiga-tiga anaknya mengalami penyakit otak lambat berkembang.

                Sampai umur 10 tahun, anak-anaknya sukar menghafal nombor 1-10, dan tidak boleh menghafal A-Z dengan baik. Apabila dihantar kepada doktor, doktor menyatakan yang anak-anaknya mengalami penyakit otak lambat berkembang. Umur 10 tahun tapi otak 3 tahun, umur 20 tahun nanti baru anak-anaknya akan mampu berfikir seperti orang berumur 10 tahun.

                Di situ, lubang kecacatan dalam kehidupan sempurna hamba Allah SWT itu. Dia hebat, kacak, tinggi, gagah, genius, kaya, ada isteri macam bidadari, tapi anaknya tidak seperti keluarganya.

                Dia mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan.

                Masyarakat ada yang berkata di belakang:
                “Dia tidak akan mampu mewariskan hartanya pada anak yang sedemikian”
                “Anak perempuannya, tidak akan ada sesiapa yang mahu”

                Dan ini pada manusia biasa, merupakan tekanan yang teramat besar. Ya lah, siapa lagi akan meneruskan legasi kewujudan kita di dunia ini melainkan anak-anak kita? Tapi mendapat anak yang sedemikian, pastinya merupakan sesuatu yang amat berat untuk semua. Lebih berat lagi dengan ketiadaan harta.
Kawan-kawan rapat hamba Allah SWT ini amat kasihan dengannya. Termasuklah Dr ‘Ala yang mengenali betapa dia adalah seorang yang baik, ramah, pemurah, dan sering bersama dengan pelajar-pelajar lain walaupun status hamba Allah SWT tadi amat tinggi dan dia amat bijak.

                Justeru, satu hari, semasa pulang dengan kereta hamba Allah itu, Dr ‘Ala menyatakan betapa dia kasihan dengan hamba Allah itu.

                “Wahai sahabatku, andai aku mampu ubah kehidupan kau, maka aku akan ubah anak-anak kau. Kalau akumampu rawat penyakit anak-anak kau, maka aku akan rawat. Kalau duit boleh menyembuhkan anak-anak kau, maka aku akan beri”

                Kemudian hamba Allah itu bertanya kepada Dr ‘Ala.

                “Kau kata itu sebab kau kasihan dengan aku?”

                Dr ‘Ala berkata: “Ya, aku amat kasihan dan sedih dengan apa yang berlaku pada kau. Pastinya kau tertekan dengan kehidupan kau”
                Dr ‘Ala menceritakan kepada kami, bahawa kawannya itu kemudian tersenyum.

                “ ‘Ala, apa yang berlaku pada aku bukan untuk disedihkan, malah untuk disyukuri”
Di sinilah kunci cerita saya berkenaan hamba Allah SWT ini. Yang kemudian membuatkan saya amat terkesan dengan cerita yang diceritakan Dr ‘Ala kepada kami.

                Lelaki itu berkata kepada Dr ‘Ala bahawa ujian yang dihadapinya patut disyukuri, bukan disedih kasihan kan.

                Hamba Allah itu bercerita: “Setiap pagi, aku akan bangun awal dan mengerjakan solat sunat dua rakaat, kemudian usai solat, aku akan berdoa kepada Allah SWT: Ya Allah, aku bersyukur Kau mengurniakan anak yang sedemikian rupa kepada aku”

                Dr ‘Ala bertanya kepada lelaki itu dalam keadaan terkejut: “Kau buat begitu setiap hari? Bersyukur kepada Allah apa yang terjadi?”

                Hamba Allah itu mengangguk.

                “ ‘Ala, aku mempunyai segala sebab untuk takabbur, angkuh dan membesarkan diri daripada Allah SWT. Aku kaya, aku digilai ramai, aku amat genius, aku pakar dalam sains dan aku mendalami agama. Isteri aku juga merupakan orang seperti aku dan aku berkahwin dengannya. Aku mempunyai banyak ruang untuk takabbur wahai ‘Ala”

                “Tetapi Allah mengurniakan aku anak yang sedemikian, membuatkan aku beringat betapa Allah SWT itu lebih tinggi dan lebih berkuasa atas sesiapa sahaja. Setiap kali aku melihat anak-anak aku, aku menyedari betapa aku hanya manusia, hamba kepada Allah SWT Yang Perkasa. Anak-anak aku, adalah peringatan kasih sayang Allah kepada aku. Aku rasa, Allah menghadirkan mereka dalam kehidupan aku, untuk menyelamatkan aku dari takabbur dan memasukkan aku dalam syurga-Nya. Masakan aku tidak bersyukur?”

                “Andai kata anak-anak aku itu bukan dari tulang sulbi aku, maka aku akan katakan bahawa anak-anak aku itu adalah hadiah yang turun dari langit khas daripada Allah untuk aku. Menyelamatkan aku dari menjauhi-Nya, dan mendekatkan aku kepada-Nya”

                Dan Dr ‘Ala berkata kepada kami: “Mendengar kata-katanya, aku diam”

Maka di sinilah kita perlu melihat. Contoh yang ditunjukkan hamba Allah itu kepada kita. Bagaimana pula kita memandang ujian yang Allah beri kepada kita?

                Tambahan, kita tidak hidup sesempurna lelaki tadi. Dia yang hebat, dia yang kacak, dia yang kaya, dia yang bertstatus tinggi semestinya lebih dipandang orang. Maka kecacatan anaknya merupakan satu kemaluan untuknya, merendahkan darjatnya di dalam masyarakat. Tetapi lihatlah macam mana dia menysukuri apa yang Allah berikan kepadanya.

                Kita bagaimana? Apa yang ada pada kita? Bagaimana kita menghadapi ujian Allah SWT kepada kita?
                Adakah kita yakin bahawa Allah SWT itu tidak menzalimi kita langsung? Apakah kita yakin bahawa Allah SWT itu amat kasih dan sayang kepada hamba-hambaNya? Maka apabila ujian datang, bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT?
                Di sinilah sebenarnya kita perlu duduk muhasabah, dan mengenang semula kehidupan yang telah dan sedang kita lalui ini.




Kisah ini dipetik dari Buku Motivasi LangitIlahi3: Fanzuru, Maka Lihatlah.



No comments:

Post a Comment